EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

EXCO: Kajian bentuk muka bumi sedang dilaksana, bantu ramal awal banjir

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian keadaan rupa bumi sesuatu kawasan atau topografi bagi mendapatkan data taburan hujan tepat untuk menangani isu banjir.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kajian itu sebahagian Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini dilaksana di negeri ini serta sedang memasuki fasa kedua.

“Fenomena banjir baru-baru ini memerlukan kita buat pemprofilan seluruh kawasan muka bumi dan apabila berlaku taburan hujan di merata tempat kita boleh mengesan aliran air serta kawasan yang mungkin berlaku banjir.

“Tanpa data dan maklumat topografi yang tepat pada permukaan bumi, kita tidak berupaya buat simulasi. Proses ini bukan mudah tetapi telah dimulakan supaya dapat buat simulasi dan hebahan tepat serta awal,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Banting Lau Weng San yang bertanya langkah diambil Kerajaan Negeri untuk meramal lebih tepat taburan hujan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Tambah Izham, antara faktor menyebabkan berlakunya banjir besar baru-baru ini ialah taburan hujan luar biasa melebihi 300 milimeter menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti air larian yang tinggi.

“Selain itu, pertembungan air laut pasang tinggi semasa hujan menyebabkan air lebihan tidak dapat disalurkan terus ke laut, kedudukan kawasan topografi yang rendah berbanding paras air sungai.

“Selain itu, pengoperasian rumah pam dan pintu kawalan air terpaksa dihentikan akibat terputus laluan perhubungan dan bekalan elektrik serta peningkatan zon pembangunan tanah mengurangkan tahap ketelapan air menyebabkan air larian yang tinggi,” katanya.


Pengarang :