Aksi si cilik ketika mempersempahkan seni silat ketika Himpunan Perguruan Silat Selangor di Istana Bandar, Banting pada 13 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

EXCO: Pelbagai program dianjur pelihara warisan seni silat

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan seni silat sebagai seni warisan mempertahankan diri yang harus dipelihara.

EXCO kebudayaan berkata pelbagai bantuan dan sokong diberikan oleh Kerajaan Negeri terhadap program pembangunan serta aktiviti anjuran persatuan seni silat di peringkat institusi pengajian hinggalah kebangsaan.

“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah melaksanakan beberapa program khusus berkaitan silat bagi tujuan pengembangan dan pemugaran. Selain warisan, seni silat juga adalah salah satu cabang dalam bidang sukan.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melalui PADAT bekerjasama dan memberi sokongan kepada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta agensi dan badan bukan kerajaan dalam penganjuran program silat untuk generasi muda bagi tujuan mempertingkatkan minat serta kesedaran,” katanya.

Borhan Aman Shah berkata antara program yang telah dilaksanakan seperti Perhimpunan Perguruan Silat Selangor pada 2019 dan Selangor Martial Arts Xtiv (Active) Virtual pada 2021.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Justeru itu, katanya sebagai langkah lebih proaktif pada 2022, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor telah merancang pelbagai aktiviti untuk dilaksana.

“Program latihan dan kelas silat di gelanggang-gelanggang yang akan dikenal pasti di kampung-kampung tradisi negeri Selangor seperti format dan cadangan YB Sementa melalui pemberian subsidi yuran pembelajaran seni silat melayu.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih mengenalpasti mekanisme yang terbaik bagi pelaksanaan program ini memandangkan pelaksanaan program seumpama ini adalah selektif dan memerlukan peruntukan yang besar jika hendak dilaksanakan secara menyeluruh di Selangor,” katanya.

Borhan berkata demikian bagi menjawab pandangan Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mencadangkan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menggalakkan anak muda dan pelajar sekolah untuk menyertai silat di sekolah dengan memberi subsidi bayaran yuran.


Pengarang :