EXCO Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan cek cura dan sijil kepada pemenang ketika majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pengusaha premis diberi masa pindah lokasi sesuai, dapat sijil halal

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan memberi ruang dan menetapkan tempoh masa kepada pengusaha premis sembelihan yang tidak memiliki sijil halal untuk memindahkan operasi ke kawasan sesuai.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pendekatan tersebut diambil supaya mereka tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pemindahan ke lokasi disasarkan membolehkan proses mendapatkan sijil halal dilakukan.

“Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan kebanyakan pemilik premis mengusahakannya di atas tanah pertanian. Kita akan bincang dengan jabatan itu untuk menetapkan tempoh masa kepada mereka mencari kawasan industri.

“Jadi dalam tempoh diberikan, mereka boleh mencari tempat lebih baik berbanding sedia ada. Kita percaya ini semua demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurut Mohd Zawawi, setakat Januari lalu hanya 14 daripada 343 premis sembelihan di Selangor memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pemindahan pusat berkenaan ke premis industri bagi memudahkan operasi dan tidak menimbulkan isu pencemaran.

“Mungkin selepas ini sisa sembelihan seperti darah dan sebagainya dapat diurus dengan lebih baik kerana matlamat kita adalah untuk memelihara alam sekitar daripada tercemar,” katanya.


Pengarang :