Dr Siti Mariah Mahmud ketika sidang media pelancaran Kempen Hentikan Keganasan Wanita di Dewan Annex, Shah Alam pada 9 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Penubuhan kelab ibu tunggal di setiap DUN elak golongan itu terus tersisih

BANGI, 25 MAC: EXCO pembangunan wanita dan keluarga mencadangkan supaya kelab ibu tunggal diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, penubuhan kelab itu diharap mampu membantu mengelakkan golongan itu daripada berasa tersisih.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan jumlah ibu tunggal di negeri ini, iaitu membabitkan 44,680 wanita ketika pasca pandemik melanda negara.

“Sebelum pandemik peningkatan jumlah ibu tunggal adalah pada kadar purata sekitar 8.3 peratus setahun. Saya yakin angka ini semakin bertambah berikutan peningkatan kadar perceraian akibat ketidakstabilan ekonomi.

“Justeru, saya mencadangkan setiap wakil rakyat menubuhkan kelab ibu tunggal di kawasan masing-masing untuk mendengar masalah golongan ini dan membantu mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Wanita Selangor (Manis) 2022 bertemakan Saksama Bersama: Mendepani Pasca-Pandemik di Bangi Resort Hotel di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia Professor Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Kamariah Ahmad Subki.

Dr Siti Mariah berkata Manis turut menjadi salah satu agenda bagi membantu mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi wanita termasuk ibu tunggal supaya tidak jauh ketinggalan.

“InsyaAllah selepas sesi libat urus menerusi Manis hari ini kita akan merangka atau menambah baik dasar bagi membantu ibu tunggal dan mungkin tahun depan kita akan mulakan kelab ini di setiap DUN.

“Namun, saya berharap kita boleh membantu menggilap kemahiran golongan ini untuk mereka berusaha menambah pendapatan dan tidak hanya semata memberi bantuan berbentuk kewangan,” katanya.


Pengarang :