EXCO Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Hee Loy Sian menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

EXCO: Perubahan iklim, Selangor terbuka kerjasama dengan Putrajaya

SHAH ALAM, 15 MAC: Selangor terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat serta negeri lain bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.

Bagaimanapun, EXCO Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Hee Loy Sian menjelaskan ketika ini hanya Selangor yang mempunyai jawatankuasa khas untuk menangani masalah berkenaan.

“Selangor merupakan satu-satunya negeri yang ada jawatankuasa tetap perubahan iklim, lain-lain negeri tiada malah kerajaan persekutuan juga tiada nama khusus (perubahan iklim) di bawah KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air).

“Jadi kita akan rangka kertas kerja dan bincang bagaimana mahu bantu kerajaan pusat dan negeri-negeri lain untuk kurangkan masalah perubahan iklim,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang melihat keperluan untuk bergerak secara bersama dengan kerajaan pusat dan negeri lain dalam menyelesaikan masalah perubahan iklim.

Sementara itu, menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei, Loy Sian berkata jawatankuasa tersebut akan bekerjasama dengan pakar perubahan iklim termasuk Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) dan tokoh akademik bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

“Tindakan strategik diperlukan untuk mengukuhkan daya tahan negeri terhadap perubahan iklim termasuk mengarusperdana perubahan iklim serta mengintegrasi respons adaptasi dan mitigasi secara seimbang.

“Jadi, jawatankuasa ini akan memastikan segala inisiatif ini menitikberatkan pengukuhan keupayaan negeri impak perubahan iklim dapat dikurangkan,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan portfolio baharu iaitu perubahan iklim yang diterajui Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang.

Jawatankuasa itu membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan kajian secara menyeluruh isu berkaitan dan pemanasan global yang memberi kesan terhadap alam sekitar sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat.


Pengarang :