(Gambar hiasan) Kerajaan Selangor menyediakan insentif bagi meringankan beban kewangan pesakit tibi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONALSELANGOR

EXCO: Pesakit tibi terima insentif RM800 teruskan rawatan di hospital, klinik

SHAH ALAM, 24 MAC: Selangor merekodkan sebanyak 4,307 kes tibi tahun lalu, kata Exco Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud.

Justeru, katanya Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Insentif Rawatan Tibi tahun ini yang bakal memberikan manfaat kepada 1,000 pesakit.

Beliau berkata, program yang diperkenalkan pada 2020 itu bakal dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor.

Ia membabitkan pemberian bantuan kewangan RM800 kepada individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut.

“Tahun lalu, Program Insentif Rawatan Tibi telah berjaya memberi manfaat kepada 781 individu dengan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM624,800.

“Pemberian Insentif ini bertujuan menggalakkan pesakit untuk menyempurnakan rawatan di samping membantu menampung kos perjalanan pesakit tibi yang berulang-alik ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Tibi Sedunia hari ini.

Katanya, sebanyak 597 kes kematian akibat tibi direkodkan pada 2020 dengan jumlah individu berhenti menerima rawatan adalah 598 kes.

Oleh itu, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai program berkenaan melalui pelbagai program promosi di platform digital dan aktiviti oleh Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Maklumat lanjut berkenaan Program Rawatan Insentif Tibi boleh didapati menerusi laman sesawang https://www.selangorprihatin.com/insentifrawatantibi.


Pengarang :