Ir Izham Hashim bercakap ketika sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Strategik antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Wisma PKPS, Shah Alam pada 23 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Program jualan murah catat perolehan hampir RM500,000

SHAH ALAM,23 MAC: Program Intervensi Harga Makanan Ehsan berjaya mencapai jumlah jualan RM496,852 sejak diperkenal pada 7 Februari lalu, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata jumlah itu melibatkan siri jualan harga ayam dan telur di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Pasar Borong Selangor dan program jualan prihatin rakyat setiap hujung minggu.

“Sebahagian besar jumlah adalah jualan ayam iaitu RM337,524 diikuti telur RM132,000.

“Keseluruhan, rakyat Selangor menikmati penjimatan berjumlah RM149,619 kerana harga ditawarkan lebih rendah sehingga 24 peratus,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKPS dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Wisma PKPS di sini hari ini.

Program Intervensi Harga Makanan Ehsan dijalankan pada setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Sehingga 14 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000.


Pengarang :