EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Kamariah Ahmad Subki (kanan) melancarkan talian khas aduan keganasan rumah tangga SELamat di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor, Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Program mental sihat bantu 30,000 individu urus emosi akibat pandemik

SHAH ALAM, 29 MAC : Seramai 30,000 individu menerima manfaat menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat) setakat Disember tahun lalu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif tersebut ditambah baik tahun ini menerusi pemberian subsidi kepada individu yang memerlukan diagnosis atau rawatan lanjut dengan pakar psikiatri.

“Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan sehingga 120,000 individu menerima manfaat pada tahun ini yang boleh dimuat turun menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)

“Insya-Allah, program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA),” katanya menerusi wawancara khas bersama Media Selangor baru-baru ini.

Dr Siti Mariah berkata julat umur pengguna aplikasi berkenaan secara purata antara 10 hingga 82 tahun dengan majoriti dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun iaitu 57.8 peratus.

Beliau berkata individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh bertemu pakar segera tanpa perlu menunggu lama.

Pada November tahun lepas Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, peningkatan sebanyak RM8.5 juta itu selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kesihatan rakyat.

Pada Ogos tahun sama Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :