EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menggulung usul titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

EXCO: Proses asing sisa pascabah sukar, bercampur pelbagai sumber

SHAH ALAM, 18 MAC: Proses pengasingan sebanyak 48,000 tan metrik sisa pascabah di Selangor agak sukar dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) berikutan bercampur dengan pelbagai sumber.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjelaskan peranan agensi terbabit hanya mengeluarkan sisa tersebut secepat mungkin dari kawasan terjejas mengikut arahan Kerajaan Negeri.

“Adalah agak mustahil dan tidak realistik untuk melaksanakan proses pengasingan kerana semua sisa tersebut sememangnya bercampur-campur, berbau serta berselut.

“Bayangkan sekiranya proses pengasingan (sampah) dilakukan, kerja pembersihan ini akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan dan sudah pasti menimbulkan rungutan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kelmarin, wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi membangkitkan isu berhubung kerja pembersihan pascabanjir oleh KDEBWM dan pihak berkuasa tempatan yang tidak memikirkan soal pengasingan sampah.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata impak sosial dan kepentingan penjagaan alam sekitar turut diberi keutamaan dalam keadaan bencana luar jangka.

“Sisa banjir dari kediaman mereka perlu dilupuskan secepat mungkin supaya dapat memulakan kembali kehidupan harian seperti biasa,” katanya menambah sejumlah RM14.18 juta dibelanja bagi operasi pembersihan di seluruh kawasan terjejas.


Pengarang :