EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim meninjau kerja pembaikan jalan, cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 20 Januari 2022. Foto Facebook Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

EXCO: RM22.56 juta kos baiki jalan rosak akibat banjir di lima daerah

SHAH ALAM, 18 MAC: Kos baik pulih jalan rosak akibat banjir pada akhir Disember lalu dianggarkan bernilai RM22.56 juta, tidak termasuk kerja mengukuhkan cerun.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata angka itu berdasarkan penilaian awal Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melibatkan pembaikan jalan di lima daerah terjejas.

“Cadangan kerja baik pulih jalan negeri ini adalah di bawah program pemulihan infrastruktur pascabanjir menggunakan peruntukan Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia) 2022,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berhubung projek baik pulih jalan di Selangor akibat bencana dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Memperincikan perkara itu, Ir Izham berkata projek yang sudah selesai antaranya baik pulih tebing jalan runtuh di Jalan Sungai Lui, Hulu langat serta jambatan di laluan B48 Jalan Sepang-Jenderam, Sepang.

Tambahnya pembaikan tebing jalan runtuh di Jalan Rahidin 2 dan Jalan Pekan Subang di Petaling pula sedang berjalan sejak dimulakan 15 Februari lalu.

Beliau turut memaklumkan kebanyakan kerja ukur, siasatan tapak dan reka bentuk jalan di kawasan lain yang terjejas sudah siap serta menunggu pelaksanaanya.


Pengarang :