EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim (kiri) melihat pelan pembinaan jambatan kedua Sungai Air Tawar yang turut melibatkan pemasangan lampu di persimpangan jalan dan jambatan di Kampung Datuk Hormat Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: RM3.6 juta dilulus pasang lampu jalan LED, rekaan terkini

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Selangor meluluskan dana berjumlah RM3.6 juta bagi menambah bekalan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) di kawasan dikenal pasti.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata kemudahan itu diberi kepada setiap wakil rakyat dan mereka akan mengesan kawasan yang memerlukan pemasangan tersebut.

“Kita setuju untuk memberi 10 unit lampu jalan rekaan terkini kepada Ahli Dewan Negeri berharga antara RM8,000 hingga RM10,000 setiap unit.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada tender akhir (tetapi) kita sudah tetapkan amaun RM3.6 juta. Jadi, mereka boleh cari mana-mana jalan yang ingin diterangi dengan lampu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu seramai 23 Ahli Dewan Negeri turut serta dalam sesi perbahasan bermula kelmarin, dengan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri membangkitkan pertanyaan berhubung perkara itu.


Pengarang :