EXCOSELANGOR

EXCO: Selangor cadang guna dron pantau wabak denggi

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Selangor bercadang menggunakan dron untuk memantau lokaliti wabak denggi di negeri ini.

EXCO kesihatan awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata Selangor juga akan membangunkan aplikasi khusus mengesan kawasan tumpuan wabak itu.

“Insya-Allah kita masih dalam fasa perbincangan dan mungkin dalam masa terdekat ini kita akan memantau wabak denggi dengan dron dan meletak ubat bunuh jentik-jentik di kawasan berisiko.

“Selain itu, kita juga akan menubuhkan aplikasi pengesanan lokaliti hotspot yang boleh diakses oleh seluruh masyarakat awam,” katanya dalam wawancara khas bersama Media Selangor baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membiarkan air bertakung sehingga boleh membiak aedes.

“Orang kurang ambil peduli dengan denggi kerana adakalanya penyakit itu belum kena pada diri sendiri tetapi saya menyeru masyarakat ambil tahu dengan keadaan sekeliling dan jaga kebersihan,” katanya.

Kes denggi di negeri ini meningkat 1,112 kes atau 35.9 peratus dari minggu sembilan epid 2021 hingga 5 Mac dengan Petaling mencatatkan kumulatif tertinggi iaitu 1,460 kes.


Pengarang :