EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (hadapan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan) melawat Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Selangor giat laksana program pembangunan dron, jadi hab teknologi serantau

SHAH ALAM, 17 MAC: Invest Selangor Berhad giat merangka pembangunan aktiviti dron termasuk memperhalusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor dengan kerjasama universiti milik Kerajaan Negeri, awam dan swasta.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Dato’Teng Chang Khim berkata objektif penubuhan pusat kecemerlangan adalah untuk mempromosi negeri ini sebagai hab utama rantau Asia untuk aktiviti aeroangkasa termasuk berkaitan dron.

“Invest Selangor sedang merangka pembangunan dron sebagai aktiviti sokongan serta hiliran. Hab ini akan merangkumi semua elemen iaitu air, tanah dan udara.

“Ia sekali gus mencapai sasaran Kerajaan Selangor untuk menggalakkan pembangunan industri aeroangkasa yang akan memberikan kesan positif kepada rakyat dan ekonomi Malaysia secara amnya dan negeri Selangor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Chang Khim menjawab cadangan wakil rakyat Banting Lau Weng San yang mengesyorkan Kerajaan Negeri meneroka peluang untuk membangunkan industri dron susulan teknologi itu yang dilihat semakin berkembang.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pemain industri seperti syarikat Aerodyne dalam penyediaan latihan penggunaan dron dan pembangunan dron bagi tujuan industri serta komersial.

“Kita juga dalam perbincangan dengan pihak Berkuasa Pomeranian Awam Malaysia (CAAM) berhubung peraturan dan perundangan.

“Drone Park juga akan diwujudkan yang mana aktiviti berkaitan dron ditempatkan di kawasan khas merangkumi aktiviti pembuatan dan pembaikan dron, ujian lapangan, latihan tenaga kerja, penyelidikan dan pembangunan,” katanya.


Pengarang :