Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Tahap risiko cerun dinilai, hujan luar biasa jejas struktur tanah

SABAK BERNAM, 27 MAC: Selangor menggunakan khidmat anak syarikat Kerajaan Negeri yang memiliki kepakaran dalam teknologi, Selgem Sdn Bhd (Selgem) bagi mengesan lokasi cerun berisiko.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata banyak cerun di negeri ini perlu dinilai semula memandangkan struktur tanah longgar akibat hujan lebat dengan taburan luar biasa.

“Sesetengah cerun tunggu masa untuk runtuh. Jadi kita kena kaji dan nilai tahap risikonya sama ada kritikal, pertengahan atau biasa supaya tindakan segera dibuat.

“Contoh kejadian Bukit Permai (Ampang). Tak ada amaran atau tanda untuk runtuh,” katanya selepas merasmikan Kelong Paradise Waterfront Resort di sini, hari ini.

Jelasnya satu mesyuarat khas cerun bakal dilaksana dalam masa terdekat memandangkan ketika ini tiada penyelarasan khusus berhubung masalah itu.

“Ada bawah pihak berkuasa tempatan, ada juga bawah Jabatan Kerja Raya. Tak ada jawatankuasa khas untuk pemantauan cerun.

“Jadi saya ada sebut di mesyuarat EXCO untuk tubuhkan pasukan yang bertanggungjawab pantau cerun sebab isu ini dah jadi penting,” katanya.

Pada 11 Mac, Izham memaklumkan lebih 150 cerun dikenal pasti berisiko tinggi untuk runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Beliau berkata cerun terbabit menjadi tidak stabil akibat air hujan melampau selain banjir yang melanda pada Disember lalu.

 


Pengarang :