Orang ramai menunggu giliran untuk menaiki bot kayuh di Tasik Taman Bandar, Kuantan, Pahang pada 26 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fasa endemik: Orang ramai diingat jangan lalai, kekal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Orang ramai diingatkan untuk tidak lalai dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara bakal memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dalam fasa itu, orang ramai masih perlu terus memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek – Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) untuk mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata bagi memastikan mereka dan anak-anak dilindungi, pengambilan vaksin COVID-19 adalah digalakkan.

“Esok kita masuk fasa peralihan ke endemik. Gelombang Omicron terkawal. Angka Rt negara 0.88. Sistem kesihatan awam cukup kapasiti. But let’s not let our guard down (Tapi jangan biarkan kawalan kita lemah,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob awal bulan ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April (Jumaat).

— BERNAMA

 


Pengarang :