Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Galak pelaburan baharu, negeri rekod nilai RM5.96 bilion tahun lalu

SHAH ALAM, 14 MAC: Inisiatif Kerajaan Selangor memudah cara dan menggalakkan pelaburan baharu serta sedia ada dari dalam dan luar negara dipuji Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu menyumbang kepada pencapaian menggalakkan
dengan nilai RM5.96 bilion melalui 182 projek perkilangan antara Januari hingga September 2021.

“Jumlah projek perkilangan yang diluluskan ini merupakan jumlah tertinggi berbanding negeri lain, di mana sebanyak 12,226 potensi peluang pekerjaan diwujudkan,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Baginda bertitah kejayaan itu didorong penganjuran program tahunan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor bagi mempromosikan negeri ini sebagai hab perdagangan global di rantau Asean.

Sultan Selangor bertitah usaha itu turut memberi peluang kepada syarikat tempatan dan asing untuk
mempamerkan produk dan perkhidmatan serta mewujudkan kerjasama bagi peluang pelaburan.

Sementara itu, Baginda bertitah inisiatif untuk menarik pelaburan baharu di negeri ini diteruskan melalui pembangunan infrastruktur moden dan lengkap.

“Pembukaan fasa satu projek Laluan Transit Aliran Massa (MRT2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dari kawasan Damansara ke Stesen Kampung Batu dijangka selewat-lewatnya April tahun ini.

“Beta menjangkakan pembukaan laluan MRT2 ini akan merancakkan lagi sektor ekonomi sampingan seterusnya memberikan limpahan ekonomi kepada semua pihak,” titah Baginda.

 


Pengarang :