Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap selepas menyaksikan MoU antara Lembaga Urus Air Selangor dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi, Jabatan Alam Sekitar, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Landasan Lumayan Sdn Bhd di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 29 Mac 2022. Foto RADIN WAZIR
AGENDA NASIONAL

Gantung tugas guru Kafa enggan vaksin demi keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 29 MAC: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggantung tugas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang enggan divaksin wajar demi maslahat dan kepentingan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui keputusan itu agak sukar namun perlu dilaksana kerana memberi risiko jangkitan Covid-19 kepada warga sekolah terutama pelajar dan guru.

“Keputusan ini libatkan proses panjang, dari tahun lepas Kerajaan Negeri pantau perkara ini dan kita sarankan Jais berunding, berbincang, bersemuka dengan guru. Ini kerana vaksin ini mampu melindung diri dan elak kesan teruk.

“Bagaimanapun selepas beberapa proses mereka tetap tegar. Kita hormati pendirian tetapi ia memberi risiko besar kepada anak-anak dan guru. Jadi langkah ini (gantung) untuk pastikan anak-anak selamat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Urus Air Selangor dengan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berkata semua guru berkenaan juga mengetahui risiko bakal dihadapi jika enggan mengambil vaksin termasuk digantung tugas.

“Kita sudah berbincang, bagi surat amaran, buat pengumuman, panggil satu persatu dan jelaskan risiko itu.

“Semua jalani proses ini dan ia bukan keputusan tergesa-gesa tetapi berhemah. Kerajaan Negeri kena ambil tindakan demi memastikan kesejahteraan komuniti terjaga,” katanya.

Semalam Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata 57 guru Kafa yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dikenakan tindakan gantung tugas dua bulan mulai bulan ini.

Beliau berkata semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin dalam tempoh gantung tugas dan tindakan tamat perkhidmatan dilaksanakan sekiranya masih enggan berbuat demikian.

Mohd Shahzihan menjelaskan tindakan itu berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.


Pengarang :