Antara koleksi pelitup muka dihasilkan Wan Nur Faranisha Wan Zulrushdi.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Guna kemahiran seni jahitan, reka sendiri pelitup muka fabrik

Menggunakan kemahiran dalam seni jahitan, Wan Nur Faranisha Wan Zulrushdi mereka sendiri pelitup muka fabrik dan mula menjualnya secara kecil-kecilan sejak Aidilfitri lalu.

Pada awal, niat lulusan rekaan fesyen ini hanya untuk kepuasan seni. Hampir semua kerja dilakukan sendiri termasuk pemilihan jenis kain, benang dan corak yang diterapkan pada pelitup muka.

Tamat belajar di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) pada 2018, wanita 26 tahun itu pernah menghasilkan beg kain buatan tangannya tetapi kurang mendapat sambutan berbanding pelitup muka.

Antara koleksi pelitup muka dihasilkan Wan Nur Faranisha Wan Zulrushdi.

Tanpa disangka, produk baharu itu yang dihadiahkan kepada pelakon dan model Izara Aishah menarik perhatian ramai.

Menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu menggayakan pelitup muka Wan Nur Faranisha dengan baju rekaan Alia Bastamam ketika majlis fesyen terkenal Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada 7 November lalu.

“Ketika Izara Aishah siarkan gambarnya di Instagram dengan memakai pelitup muka saya, ramai yang komen cantik. Itu menaikkan semangat saya untuk hasilkan lebih banyak rekaan menarik,” kata anak Pahang itu kepada Selangorkini.

Tya Ariffin, seorang lagi menantu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, turut menggayakan pelitup muka rekaan Wan Nur Faranisha. Pelakon kelahiran Palembang, Indonesia itu yang diikuti 1.6 juta pengguna Instagram sering memuatkan foto bersama pelitup tersebut.

Tidak ketinggalan personaliti media sosial Noor Atisha Abdul Halim Khan, adik usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor, pernah memakainya dan memuat naik gambar pelitup muka di Instagram.

Antara koleksi pelitup muka dihasilkan Wan Nur Faranisha Wan Zulrushdi.

Dihasilkan menggunakan kain satin dengan pilihan lapan warna lembut, lebih 1,000 helai sudah terjual sejak diperkenalkan melalui Instagram wnf.basics tahun lalu.

“Bukan saya tidak mahu jual lebih banyak, tetapi semua kerja jahitan dibuat sendiri tanpa menggunakan khidmat pekerja. Saya mahu memastikan kualiti jahitan terjaga, sekali gus mengelakkan pelanggan merungut.

“Kalau boleh apa yang dibayar mereka sesuai dengan kualiti yang mereka dapat,” katanya, yang meletak harga RM19 bagi pelitup tanpa corak hingga RM30 sehelai bagi bersulam.

Menjelang Aidilfitri tahun ini, gadis kelahiran Kuantan itu sibuk menyiapkan produknya sejak Januari lalu. Sesuai dengan saranan kerajaan, Wan Nur Faranisha juga menghasilkan pelitup muka dua lapis.

“Untuk pelitup muka dua lapis, saya ada buat poket kecil di dalamnya untuk membolehkan pelanggan isikan ‘filter’ (penapis) seperti kain atau tisu,” katanya lagi.

Untuk sambutan hari raya Mei ini, beliau memperkenalkan pelitup muka kain kapas pula, termasuk dengan sulaman.

Tambahnya, pelitup kain kapas tanpa corak lebih disukai pelanggan lelaki. Malah teksturnya juga lebih sesuai dengan gaya maskulin. Sementara wanita pula lebih menggemari corak sulaman.

Tahun lalu, Wan Nur Faranisha menjahit 400 helai. Namun susulan sambutan yang semakin baik, untuk tahun ini, 600 helai disiapkan menjelang Aidilfitri sahaja.

Izara Aishah mengenakan pelitup muka yang dihasilkan Wan Nur Faranisha Wan Zulrushdi

Dalam dunia rekaan, Wan Nur Faranisha meminati hasil kerja pereka tempatan Adila Long, Teh Firdaus dan Davis Paul Lister. Beliau turut mengambil inspirasi rekaan antarabangsa yang dihasilkan Karl Lagerfeld dan Donatella Versace.

Info pelitup muka

– kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020
– boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhinya
– Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menyarankan pemakaian pelitup muka fabrik untuk golongan tidak mengalami gejala pernafasan

Panduan memakai pelitup muka fabrik

– pastikan memakai pelitup muka bersaiz sesuai dengan muka
– tidak menyentuh bahagian luar pelitup muka
– pastikan hidung dan mulut ditutup sempurna
– tidak meletakkan pelitup muka di bawah dagu atau di merata-rata tempat
– pastikan anda mempunyai lebih daripada satu pelitup muka untuk tujuan penggiliran
– basuh pelitup muka setiap hari

Sumber:
‘Mewajibkan pemakaian pelitup muka: Kesan, implikasi dan saranan’, portal Astro Awani, 1 Ogos 2020


Pengarang :