Banjir kilat yang berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Sungai Perigi pada 18 Ogos 2021 berpunca daripada kepala air menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman penduduk di sekitar Yan Kedah. Foto pembaca media sosial
AGENDA NASIONAL

Hadkan aktiviti di lokasi berisiko pada sebelah petang – KP MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Orang ramai perlu mengehadkan aktiviti di lokasi berisiko seperti tepi sungai pada sebelah petang berikutan ribut petir sering berlaku pada masa ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata mereka yang ingin turun ke laut atau berkunjung ke pulau peranginan pula perlu peka dengan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia bagi membolehkan perjalanan dirancang sebaiknya.

“Maklumat mengenai angin kencang dan laut bergelora adalah penting bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan di laut bagi mengelak kes pelancong terperangkap di pulau peranginan. Pastikan mendapat maklumat sahih daripada MetMalaysia,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk” Amaran Awal dan Tindakan Awal” terbitan Bernama TV malam ini.

Menurut Muhammad Helmi, amaran ribut kencang dan laut bergelora boleh dikeluarkan lebih awal berbanding amaran hujan lebat dan ribut petir yang hanya dapat dikesan imej radar selepas pembentukan awan dikesan atau ribut petir sudah pun bermula di sesebuah lokasi.

Terdapat kekangan untuk keluarkan amaran ribut petir lebih awal kerana belum ada teknologi yang boleh mengesan dengan tepat di mana ribut petir akan berlaku, katanya.

Beliau berkata bagi kejadian tanah runtuh, amaran awal agak sukar dikeluarkan kerana terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ia berlaku termasuk faktor geologi dan hujan lebat.

“Oleh itu penduduk di kawasan berisiko perlu sentiasa peka dengan amaran ribut petir yang dikeluarkan MetMalaysia dan perlu sentiasa mengambil tahu keadaan persekitaran mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Muhammad Helmi.

Beliau berkata sempena Hari Meteorologi Sedunia esok, MetMalaysia komited untuk meningkatkan kesedaran awam supaya mereka peka dengan keadaan cuaca ekstrem, gempa bumi dan tsunami.

Pelbagai promosi kesedaran awam akan dilaksanakan kepada orang ramai untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh MetMalaysia, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :