Muhammad Haiqal fokus membuat balingan ketika beraksi mewakili Selangor dalam sebuah kejohanan boling padang yang disertainya. Foto Muhammad Haiqal
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Haiqal idam juara Komanwel, ikut jejak ibu saudara

Tepat jam 5 pagi, deringan jam loceng mengejutkan Muhammad Haiqal Azami dari tidurnya. Lantas dia bersiap, menunaikan solat Subuh dan bergegas dari rumahnya di Kampung Telok Gong, Klang ke stesen komuter Pelabuhan Klang untuk ke Kuala Lumpur.

Tiba di stesen KL Sentral, Muhammad Haiqal naik pula bas ke Bukit Kiara. Perjalanan hampir dua jam itu memenatkan. Itulah rutin jaguh boling padang Selangor ketika berusia 12 hingga 14 tahun.

Cuti hujung minggu sanggup dikorbankan oleh Muhammad Haiqal. Semuanya kerana mahu menjadi juara seperti ibu saudaranya, Nor Hashimah Ismail.

Aksi Muhammad Haiqal Azami ketika bermain boling padang.

Nor Hashimah yang kini jurulatih pernah menang pingat emas Sukan Komanwel. Beliau juga meraih gangsa pada Kejohanan Perseorangan Piala Dunia di New South Wales, Australia pada 2017.

“Mulanya berlatih di Bayumas Klang sahaja tetapi kadang-kala perlu ke Bukit Kiara, di sana saya dapat bimbingan pemain kebangsaan.

“Ibu saudara banyak beri galakan supaya jadi juara seperti dia,” kata Muhammad Haiqal yang diberi gelaran ‘Kidal’ kerana bermain dengan tangan kiri.

Setahun selepas menceburi sukan itu, Muhammad Haiqal mewakili daerah Klang pada Sukan Selangor 2011. Dia menang pingat perak dan mula menjadi perhatian termasuk jurulatih Selangor.

Dengan sokongan ibu bapa, Azami Ismail dan Zalina Hashim, Muhammad Haiqal meningkatkan latihannya. Dia mahu membuktikan cita-citanya menjadi juara bukan omong kosong.

Berkat kesungguhannya itu, pemain yang kini berusia 23 tahun dipanggil menyertai skuad Selangor untuk Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis pada 2014. Namun, rezekinya hanya sebagai pemain simpanan.

Selepas tamat temasya, Muhammad Haiqal meneruskan latihan dan menyertai pelbagai kejohanan. Sekali lagi, namanya terpilih untuk SUKMA di Sarawak pada 2016. Kali ini dia menang gangsa kategori perseorangan.

Langkahnya semakin besar pada SUKMA 2018 di Perak apabila dia menghadiahkan pingat emas dan perak untuk Selangor.

“Saya pernah disenarai pendek mewakili Malaysia pada Sukan SEA dan dibawa ke Afrika Selatan untuk berlatih. Teruja dapat berlatih dengan nama besar seperti Safuan Said.

“Sedihnya tidak terpilih wakil negara namun bangga dapat bersaing dengan atlet lebih berpengalaman,” katanya yang kini bekerja di Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Seperti atlet lain, penularan Covid-19 menjejaskan Muhammad Haiqal. Hasratnya bertanding pada SUKMA Johor yang dibatalkan terbantut walaupun persediaan rapi sudah dilakukan.

Selepas itu, selama dua tahun ketiadaan kejohanan dianjurkan dan ia merisaukannya. Muhammad Haiqal lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan. Awal Februari 2022, dia menyertai kejohanan di Ipoh, Perak yang dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Saya menang emas, tetapi disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Ipoh. Mujur gejala tidak teruk,” katanya yang ditemubual Selangorkini menerusi telefon pada 22 Februari lalu.

Ketika wawancara ini dibuat dia sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Bertugas sebagai pembantu belia dan sukan di MSN Selangor, Muhammad Haiqal membantu badan berkenaan memberi tunjuk ajar kepada pemain baharu dalam sukan itu.


Pengarang :