AGENDA SUKANKINI

Haiqal, Khairul Hafiz gagal lepasi had kelayakan Sukan Sea Hanoi

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan menerima tamparan hebat apabila gagal melepasi had kelayakan untuk ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini.

Biarpun menjuarai acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-97 di Stadium Mini Majlis Sukan Malaysia, Bukit Jalil di sini hari ini, ia masih tidak cukup buat Muhammad Haiqal untuk melayakkan diri ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.

Muhammad Haiqal, 23, yang menjuarai acara 100 m pada Sukan SEA Filipina 2019 berlari di atas permukaan trek basah akibat cuaca hujan dan melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat (s), yang gagal melepasi had kelayakan untuk ke temasya di Vietnam iaitu 10.52s.

Atlet yang mewakili Negeri Sembilan itu bagaimanapun bersikap positif apabila mengakui tidak kecewa dengan kegagalannya hari ini kerana telah merasai pengalaman memenangi emas semasa di Filipina.

Beliau juga tidak mengharapkan bantuan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) jika mahu menghantarnya bertanding dalam acara riben biru di Vietnam atas kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat) namun bersedia untuk dipanggil menyertai kuartet 4x100m lelaki.

“Jika KOM nak hantar saya (bagi acara 100m) saya akan fokus, seandainya tiada rezeki saya ke Sukan SEA, saya akan tumpu latihan hadapi kejohanan lain,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Muhammad Haiqal tetap berpuas hati dengan lariannya hari ini apabila berjaya menepati sasaran untuk mencatat masa 10.4s hingga 10.59s dalam kejohanan kali ini.

Pingat perak acara 100m lelaki kejohanan itu dimenangi pelari Johor Muhammad Arsyad Md Saat dengan 10.63s manakala Jonathan Nyepa dari Angkatan Tentera Malaysia meraih gangsa catatan masa 10.64s.

Juara Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz yang beraksi untuk Melaka turut gagal ke Hanoi selepas menamatkan larian di tangga kelima dengan catatan masa 10.74s.

Selain Muhammad Arsyad, dua lagi pelari pecut acara 100m iaitu Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail layak bertanding ke Sukan SEA Hanoi bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

Kategori wanita pula menyaksikan atlet Singapura Pereira Veronica Shanti dinobat sebagai ratu pecut kejohanan selepas merangkul emas dengan catatan 12.03s meninggalkan Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah untuk pingat perak (12.18s) dan atlet Kedah Fatin Ilyana Mat Nayan yang meraih gangsa (12.26s).

Atlet Sarawak Mohd Rizzua Haizad Muhamad pula terus melakar kejutan apabila menewaskan jaguh 110m lari berpagar lelaki kebangsaan Rayzam Shah Wan Sofian dari Sabah.

Beliau meraih emas dengan catatan 14.13s diikuti Rayzam Shah untuk perak (14.19s) manakala rakan senegerinya, Benedict Ian Gawok membawa pulang gangsa (14.33s).

Mohd Rizzua berkata beliau cukup gembira dapat menewaskan Rayzam Shah buat kali kedua berturut-turut selepas pertama kali melakukannya di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers minggu lepas.

Kejohanan selama dua hari itu akan bersambung esok.

Keputusan terpilih:

Rejam lembing wanita:
Emas: J Pavithra Devi (PNG) – 40.90m
Perak: Nur Ayna Nuha Maton (PER) – 39.52m
Gangsa: Fatin Shahiera Che Rahim (ATM) – 38.38m

1,500m lelaki:
Emas: M Sanjay (JHR) – 4:06.98s
Perak: Ahmad Luth Hamizan (NS) – 4:07.59s
Gangsa: Mohammad Amirul Arif Mohd Azri (JHR) – 4:08.68s

1,500m wanita:
Emas: S Geetha (JHR) – 5:03.27s
Perak: Jerusha Olive Jason (SEL) – 5:43.30s
Gangsa: G.Revathy (ATM) – 6:10.17s

Lempar cakera lelaki:
Emas: Muhammad Irfan Shamsuddin (ATM) – 55.21m
Perak: Abdul Rahman Lee (SAR) – 45.63m
Gangsa: Kamal Farhan A Rahman (PER) – 45.56m

Lempar cakera wanita:
Emas: Queenie Ting Kung Ni (SWK) – 47.01m
Perak: Choo Kang Ni (ATM) – 44.66m
Gangsa: Nur Atiqah Sufiah MD. Hanizam (JHR) – 40.10m

100m lari berpagar wanita:
Emas: Nur Syafiqah Anis Abu Bakar (ATM) – 15.03s
Perak: Juriani Mat Rozi (PRK) – 15.43s
Gangsa: Farah Syakira Azifsafarin (PRK) – 15.60s

– BERNAMA


Pengarang :