Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Pasar PJKita@Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir RM6 juta bina Pasar PJKita@Sri Damansara, bangunan lebih moden

DAMANSARA, 26 MAC:Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan hampir RM6 juta membina Pasar PJKita@Sri Damansara yang menjadi kemudahan baharu penduduk setempat.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata pasar awam itu merupakan pasar pertama dalam daerah mengetengahkan konsep moden, menyeluruh serta mesra penduduk termasuk untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

Jelasnya penyusunan gerai dibuat secara sistematik dengan pengasingan antara premis jualan barangan halal dan tidak halal.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung ketika majlis Perasmikan Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bangunan pasar turut dilengkapi sistem pengumpulan air hujan dan perangkap gris supaya sisa buangan dapat diurus lebih baik dan tidak dibuang ke longkang.

“Pasar itu turut memiliki pusat kitar semula bagi menggalakkan kitaran ekonomi dalam kalangan peniaga dan penduduk,” katanya berucap di majlis perasmian yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Mohamad Azhan berkata pasar dibina sejak Ogos 2018 itu memuatkan 48 gerai jualan basah dan runcit, 18 medan selera, sembilan gerai pelbagai guna dan bilik pejabat MBPJ.

“Memandangkan peniaga ini terkesan dengan penularan Covid-19 kita memutuskan pengecualian sewa selama tiga bulan mulai April ini bagi meringankan beban mereka.

“Tahun ini juga kita rancang membangunkan dua kompleks usahawan melibatkan kos RM4 juta selain naik taraf tapak pasar PJS 2D serta Gerai D’Selera PJS 6/15,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) mengedar sumbangan kepada peniaga ketika Majlis Perasmian Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :