Poster filem Hang Tuah lakonan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee bersama seniwati Saadiah
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hang Tuah: Epik Melayu terawal ke Berlin

OLEH DANIYAL KADIR

Rentak dram mengiringi langkah lima remaja di celahan batu-batuan pantai. Mengekori mereka adalah sekumpulan orang bercelana hitam. Mata mereka meliar seolah-olah sedang mencari sesuatu.

Tidak semena-mena seorang demi seorang pemakai celana hitam itu ditikam dibunuh remaja-remaja yang bersembunyi di celahan batuan pantai itu. Lima anak muda ini pintar dan bukan sembarangan semangat kepahlawanannya.

Rentak dram terus berkumandang menaikkan lagi ‘mood’ ribuan malah jutaan penonton melihat pertembungan lima anak muda dengan kumpulan orang berpakaian hitam itu. Habis satu persatu orang bercelana hitam berwajah bengis yang membawa watak lanun itu dihapuskan.

Itulah sedikit imbauan babak Hang Tuah lima sahabat ketika remaja menumpaskan lanun yang bermaharajalela di perairan Melaka. Babak-babak ini dirakamkan di Pulau Ubin dan Pulau Sekudu, Singapura pada 1956.

Filem epik keperwiraan Melayu Melaka ini menelan belanja sebanyak RM1 juta pada waktu itu. Satu jumlah yang amat besar dan kini menjadi filem Melayu klasik malar segar.

Sehingga hari ini, filem itu acapkali menjadi rujukan banyak pihak sama ada pengkritik atau pemuja semangat Alam Melayu merentasi sempadan politik kenegaraan.

Baik daripada aspek busananya, pencak silatnya, persenjataannya, gaya bahasa serta ayat kiasan pada dialognya dan tataan seni bina istana dan rumah Melayu meski set binaannya jelas menampakkan ia hanyalah dibuat di Studio Jalan Ampas sahaja.

Hang Tuah filem arahan Phani Majumdar dilakonkan oleh barisan bintang-bintang hebat Malay Filem Productions seperti P Ramlee, Saadiah, Ahmad Mahmud, Zaiton, Haji Mahadi, Nordin Ahmad, Yusuf Latiff, S Shamsuddin, Aziz Sattar, Mustapha Maarof, S Kadarisman dan ramai lagi.

Lakon layar filem ini ditulis oleh Majumdar sendiri dan diadaptasi daripada buku karangan Tan Sri Abdul Mubin Sheppard berjudul The Adventures of Hang Tuah.

Filem ini dikenang sebagai antara filem terawal Melayu yang diterbitkan dalam warna. Malah ia menjadi filem Melayu pertama yang menjalani penggambaran menggunakan filem berwarna dengan format Eastmancolor yang dianggap sebagai teknologi bermutu tinggi dan menelan kos yang besar.

Karya seni berkenaan memberi tanda aras baharu kepada wajah filem Melayu pada waktu itu. Hang Tuah juga adalah filem Melayu pertama dialih warna mengguna kaedah ‘single strip color’ yang dikenali ‘monopack’ dengan teknik penggabungan pelbagai lapisan ke dalam satu jalur warna, kemudian dipecahkan ‘monopoly technicolor’.

Untuk makluman, filem Melayu pertama dalam warna ialah Ribut (1953) arahan B.S Rajhans yang menggunakan teknologi Gevacolor.

Hang Tuah bukan sahaja dikenang sebagai sebuah filem Melayu dalam warna yang menampilkan bintang-bintang hebat, tetapi filem ini mempunyai sejarah tersendiri dalam menempa nama di peringkat antarabangsa.

Kejayaan pertama filem ini hadir melalui kemenangan di Festival Filem Asia Pasifik ketiga yang dianjurkan di Hong Kong pada 1956. Dalam Festival ini, Hang Tuah memenangi kategori Penggubah Muzik Terbaik. Anugerah ini sudah tentu sahaja dirangkul oleh P Ramlee melalui gubahan muzik mengasyikkan untuk filem ini.

Namun begitu, kenangan paling berharga buat filem ini ialah menempa nama di salah sebuah festival filem terbesar dunia iaitu Festival Filem Antarabangsa Berlin atau dikenali sebagai Berlinale.

Hang Tuah ditayangkan semasa Berlinale ketujuh pada 1957 dan menjadi filem tempatan terawal berjaya menempatkan diri di festival filem utama dunia itu. Walaupun tidak merangkul apa-apa anugerah, namun Hang Tuah berkongsi pentas bersama-sama beberapa filem utama dunia lain termasuk 12 Angry Men arahan Sidney Lumet, Secrets of Life arahan James Algar, Kabuliwala arahan Tapan Sinha dan lebih 90 filem lain dari seluruh dunia.

Dalam festival berkenaan, 12 Angry Men berjaya merangkul anugerah filem terbaik dan menerima piala Golden Bear.

Tahun 1957 bukan sahaja akan dikenang sebagai tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, tetapi dunia perfileman tempatan pada waktu itu turut menempa nama yang membanggakan.

*Daniyal Kadir menulis ulasan perfileman Malaysia. Beliau juga menghasilkan dua buku Membedah P Ramlee dan Membedah Wayang Gambar


Pengarang :