Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan selepas sesi penyerahan kad SIM percuma Data Internet Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 28 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Hanya Selangor laksana inisiatif internet percuma, lebih 32,000 terima manfaat

SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai 32,214 individu menerima manfaat program Data Internet Selangor setakat 28 Februari lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif langganan internet percuma setahun itu melibatkan beberapa golongan antaranya peserta Platform Selangor (PLATS) serta mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

“Kad modul pengenalan pelanggan (SIM) ini juga diberi kepada sebahagian 10,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor supaya mereka dapat mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun tak dapat pergi sekolah.

“Program ini hanya ada di Selangor, yang dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada 4 Ogos tahun lalu Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM berkenaan.

Agihan turut diberi kepada peminjam Yayasan Selangor, pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, peniaga, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :