Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu (dua, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) menghadiri ceramah mega di Kota Iskandar baru-baru ini untuk berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

HARAPAN atasi kelemahan, atur strategi depani PRU15

SHAH ALAM, 17 MAC: Pakatan Harapan (HARAPAN) berusaha mengatasi kelemahan gabungan itu dengan mengatur strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Majlis Presiden, beberapa perkara akan dibuat segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan HARAPAN untuk menggilap semula idealisme perjuangan serta penyokong.

“HARAPAN juga akan berusaha merangkul kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama dalam kalangan parti pembangkang untuk bersama menolak Barisan Nasional (BN).

“Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan HARAPAN yang akan mengurangkan undi lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan BN,” kata mereka dalam kenyataan.

Pendirian tersebut dimaklumkan selepas beberapa hari gabungan itu menang 12 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor yang berakhir Sabtu lalu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Berikut kenyataan penuh Majlis Presiden:

Majlis Presiden Pakatan Harapan menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi Pakatan Harapan berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi.

Pakatan Harapan akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. Kelemahan- kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.

Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan Pakatan Harapan untuk menggilap semula idealisme perjuangan Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15.

Pakatan Harapan juga akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak Barisan Nasional. Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan Pakatan Harapan yang akan mengurangkan undi Pakatan Harapan lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional.

Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik Covid-19 termasuk isu SOP dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta kehimpitan hidup rakyat. Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang.

Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini sepertimana yang dijanjikan oleh perdana menteri. Pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dalam masa terdekat.

 

 


Pengarang :