Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pada majlis pemasyhuran Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM sebagai Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani pada 1 Mac 2022. Foto Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDA NASIONAL

HPKK UKM dimasyhur Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) hari ini dimasyhur sebagai Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merakam penghargaan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang berangkat menyempurnakan majlis pemasyhuran itu, di hospital berkenaan.

“Pengoperasian hospital pakar kanak-kanak baharu ini akan mengukuhkan lagi kelangsungan bekalan tenaga kepakaran pediatrik pelbagai disiplin untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata HPKK UKM dilengkapi pelbagai fasiliti diagnostik dan rawatan terkini bersesuaian untuk penjagaan kesihatan kanak-kanak di segala peringkat umur.

“Sebagai pusat rujukan tertiari pediatrik, HPKK UKM mempunyai kapasiti 243 katil pesakit,” kata Dr Noor Hisham dalam catatan Facebooknya yang turut memaparkan lapan keping gambar majlis pemasyhuran hospital berkenaan.

Beliau berkata hospital itu mempunyai 575 kakitangan yang terdiri daripada pakar anestesiologi, pakar perubatan dalaman, pakar perubatan kecemasan, pegawai perubatan, pegawai perubatan siswazah, jururawat dan penolong pegawai perubatan.

Dr Noor Hisham berkata hospital itu pernah diambil alih sebagai hospital Covid-19 pada Jun tahun lepas bagi menampung keperluan katil yang kritikal bagi Lembah Klang.

“Berikutan itu HPKK mula menerima pesakit Covid-19 pada 17 Jun 2021 dan pengoperasiannya membantu menambah kapasiti sebanyak 28 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 149 katil bukan ICU,” katanya.

Beliau berkata sepanjang HPKK UKM beroperasi sebagai hospital Covid-19, 842 pesakit kategori empat dan lima dirawat, dengan kebanyakannya adalah rujukan dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Pada15 Okt lepas HPKK dikembalikan semula kepada UKM untuk memulakan perkhidmatan kepada kanak-kanak sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :