Maskot beruang memberi semangat kepada kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) di Tabika Kemas Parlimen Parit pada Februari lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa digesa vaksinasi anak, lindungi daripada komplikasi radang

BAGAN SERAI, 19 MAC: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyeru ibu bapa supaya mendapatkan vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka bagi melindungi golongan itu daripada komplikasi sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MIS-C).

Beliau yang bimbang dengan sikap ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin tersebut, berkata kanak-kanak mudah terdedah kepada gejala MIS-C sekiranya dijangkiti virus Covid-19.

“Ketika ini kemasukan ke hospital untuk kanak-kanak sudah meningkat. Begitu juga di unit rawatan rapi (ICU) sudah meningkat dan memang kita agak bimbang dengan perkara yang berlaku ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program pelancongan domestik, Mukim Gunung Semanggol di Dataran Kampung Padang Lalang hari ini.

Dr Noor Azmi berkata peratusan kanak-kanak yang mengalami reaksi anafilaksis (alergi) selepas mendapat suntikan vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech (Pfizer) dan Sinovac juga dilaporkan amat rendah.

Menurutnya sebanyak 34.9 peratus kanak-kanak di seluruh negara telah divaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) sejak 3 Februari hingga semalam.

“Janganlah kita dengar berita palsu tetapi dengar berita rasmi daripada KKM (Kementerian Kesihatan) dan saya menyeru kepada ibu bapa, berilah vaksin untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Menurutnya Dr Noor Azmi sebanyak 412 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka dengan proses yang mudah tanpa perlu janji temu dan ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka mendapatkan suntikan secara jumpa terus.

– BERNAMA


Pengarang :