Reaksi dan gelagat kanak-kanak ketika berkhatan dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONALSELANGOR

Ibu bapa dipelawa daftar anak sertai acara sunat beramai-ramai di Sepang, Banting

SHAH ALAM, 9 MAC: Lebih 2,500 kanak-kanak dari tujuh daerah menyertai program Sunathon Perdana Selangor 2022 sejak ia dilancarkan pada 27 Februari hingga Ahad lalu.

EXCO pembangunan luar bandar berkata kanak-kanak terbabit adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah selain anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Sebelum ini, program yang sama sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Gombak dan Petaling.

“Dua lagi sesi akan diadakan hujung minggu ini dan majlis penutup akan dibuat di Dewan Jugra Kuala Langat pada Ahad ini,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Beliau berkata lebih 10 doktor bertugas di setiap daerah bagi memastikan program itu berjalan lancar dan terurus.

Dua lokasi terakhir program adalah Dewan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mac dan Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting, Kuala Langat pada 13 Mac ini.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://drive.google.com/file/d/1Iwf9GmKGSRmJB7WnCwYX0n3QUxSx8W11/view atau mendapatkan borang di balai penghulu.

Kerajaan Selangor menyasarkan 3,300 kanak-kanak menerima manfaat program berkenaan dengan peruntukan RM500,000 bagi meringankan beban golongan tertentu dalam menjalani ibadat wajib.

Program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada kanak-kanak di seluruh kampung tradisi mulai 27 Februari hingga 13 Mac.


Pengarang :