RENCANAWAWANCARA

Imuda seniman serba boleh, penyeri Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Bakat seni pada Imuda bukan sembarangan. ‘Otai’ ini melukis, berlakon, menyanyi, melawak dan mengacara. Pendek kata semua boleh.

Dalam bidang lukisan, beliau sendiri tidak dapat mengingati jumlah karya yang dihasilkan. Antara yang terkenal potret Michael Jackson yang pada asalnya dijual dengan harga RM20,000 tetapi nilainya kini dianggarkan mencecah RM1 juta.

Potret itu ditandatangani raja pop terbabit ketika mengadakan konsert jelajahnya di ibu negara pada 1996 dan kini dipamerkan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Dalam bidang lakonan, watak Budin yang dibawa dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu bukan sahaja memberi impak besar kepada karier seninya malah kepada peminat sitkom itu sendiri.

Pada era kemuncak, beliau menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori artis lelaki komedi dan beberapa kali tercalon dalam pelbagai anugerah lain.

Sehingga kini beliau membintangi sekurang-kurangnya 31 filem, 11 drama, enam telefilem dan tiga program televisyen seperti rancangan dokumentari pengalaman sendiri dan lain-lain.

Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1, beliau antaranya membintangi filem Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Kekasih Awal dan Akhir, Mat Som dan Driving School.

Pernah jadi ‘mayat’

Lebih 40 tahun Imuda atau nama sebenar Abdul Rahim Muda, 63, aktif dalam industri seni. Sepanjang tempoh itu jugalah pelbagai asam garam dilaluinya selaku anak seni.

Karier sebagai pelakon anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang ini bermula dengan pementasan teater berjudul Mayat pada awal 1980-an dan watak yang dipegang ketika itu adalah sebagai mayat!

Ketika itu beliau bekerja sebagai pembantu pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun hanya memegang watak mayat, pementasan teater itu membawa beliau ke serata tempat hingga ke Sabah dan Sarawak.

Selepas itu barulah Imuda membuat kemunculan pertama di kaca televisyen melalui slot Drama Minggu ini di TV1 RTM yang membawa watak tambahan dengan bayaran RM50.

Sejak itu beliau lebih kerap mendapat tawaran berlakon dengan watak yang semakin besar.

Tawaran berlakon filem hadir pada 1983 dengan memegang watak pembantu mekanik dalam filem Mekanik bersama pelakon Allahyarham Azmil Mustapha, Susan Lankester, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Terkenal dengan ‘pii raah’

Bagaimanapun namanya memuncak selepas membawakan watak Budin dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Siri televisyen komedi paling lama di negara ini terdiri daripada tiga fasa, bermula dengan pementasan Syy… disiarkan RTM sebelum berpindah ke TV3 dengan tajuk Kampung Seri Wangi dan akhirnya barulah muncul Pi Mai Pi Mai Tang Tu, meletakkan Imuda sebagai ikon komedi tanah air.

Mengimbas kembali keterlibatannya dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu sejak 1985 hingga 2004, Imuda pada mulanya sedikit gementar kerana merasakan dirinya masih mentah dalam bidang lakonan berbanding pelakon lain yang lebih senior.

Ternyata watak Budin pemuda pengutip botol dan tin oleh Imuda begitu menyerlah dengan kemampuannya mencuit hati penonton terutama apabila adegan Budin menggosok paha dan berkata “pii raah!!”

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Itu memang ‘tag line’ orang Pulau Pinang tetapi abang tambah sikit dengan tepuk dan gosok paha. Ilham itu pun sebenarnya dapat dengan tidak sengaja.

“Ada satu episod, Budin balik kampung di Pulau Pinang. Bila balik semula ke Kampung Seri Wangi, budak-budak tidak mahu campur dengan dia. Dia bengang dan itulah yang keluar ‘pii raah’. Tidak sangka penonton suka. Mula episod itulah ‘tag line’ itu lekat,” katanya kepada Selangorkini pada 1 Februari.

Populariti Pi Mai Pi Mai Tang Tu menyebabkan kebanyakan peminat memanggil semua pelakon dengan nama watak masing-masing walaupun di dunia sebenar.

Selain watak Budin, satu lagi watak yang masih diingati ramai adalah Sam dalam sitcom 2+1 yang turut dijayakan Susan, Datuk Ziela Jalil, Louisa Chong dan Allahyarham Ahmad Busu.

“Apabila diberi amanah peranan sebagai Sam, abang sendiri cipta watak Sam jadikan lelaki lembut untuk sesuaikan dengan keadaan dia selalu bertandang ke rumah bujang perempuan supaya tidaklah pelik sangat orang macam Sam keluar masuk rumah jiran perempuan.

“Lainlah arwah Ahmad Busu pegang watak penyelenggara bangunan, memang ada alasan masuk rumah perempuan untuk baiki paip dan macam-macam kerja membaiki,” katanya.

Ternyata Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1 banyak membantu menaikkan nama Imuda hingga beliau meraih gelaran Artis Komedi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular 1997/1998.

Artis kelas kedua

Walaupun bergelar Artis Komedi Lelaki Popular namun seperti pelawak lain seangkatan dengannya, Imuda tidak terlepas dengan stigma ‘artis kelas kedua’. Antara kesannya, pelawak semasa era beliau kerap menerima bayaran tidak setimpal.

“Pernah abang mengacarakan satu persembahan pentas di Kuantan bersama artis yang meningkat popular. Abang mengacara pakej sekali dengan melawak. Artis itu sepatutnya naik pentas pukul 10 malam tetapi lewat hampir dua jam kerana ada persembahan lain di Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Abang kena ganti dia dekat dua jam dengan persembahan lawak tetapi bayaran sama sahaja, tidak ditambah. Artis itu sampai dekat pukul 12 tengah malam. Nyanyi dua lagu sahaja sebab tidak cukup masa,” katanya.

Undangan persembahan makan malam tahunan di kilang-kilang sekitar Lembah Klang juga terjejas apabila bajet disediakan kebanyakan syarikat yang sebelumnya kerap mengundang beliau digunakan untuk membayar persembahan penyanyi terkenal.

Imuda menyifatkan pelawak sekarang beruntung kerana menerima bayaran lumayan dan mendapat layanan lebih baik.

“Dulu, walaupun kau menang banyak anugerah tetapi tidak boleh letak harga tinggi. Kalau letak harga tinggi, kau duduklah diam-diam, tidak ada tawaran nanti.

“Lain sekarang, tawaran bergantung kepada jumlah pengikut media sosial. Kalau ada berjuta boleh dapat banyak tawaran dan bayaran lumayan tetapi ini boleh bunuh karier pelakon berbakat sebab mahu dapatkan pengikut ramai biasanya kena cantik atau kacak bukan bakat,” katanya.

Akur dengan kehendak pasaran semasa, Imuda sempat menyelitkan nasihat buat artis generasi baharu supaya tidak terlalu mengejar kuantiti hingga menjejaskan kualiti persembahan atau lakonan.

Kartunis 

Menyentuh kariernya sebagai kartunis pula, pertama kali karyanya diterbitkan oleh majalah Gila-Gila bilangan kedua pada Mei 1978 yang dihantar melalui pos.

Sebagai kartunis bebas, selepas itu karyanya turut disiarkan penerbitan lain antaranya majalah Gelihati dan Berita Minggu dengan bayaran kira-kira RM20 setiap satu.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Siri kartun paling terkenal adalah Yushimura dan Birch vs Maharajalela. Jika diamati dua karya terkenal ini, jelas beliau membawa mesej cuba menanam semangat patriotik sekali gus menghargai kemerdekaan dalam kalangan pembaca.

Manakala dalam bidang lukisan, Imuda pernah mengadakan tiga pameran solo dan diundang dalam banyak pameran lukisan lain.

Bercakap tentang perancangan terkini, Imuda tidak menyimpan impian terlalu tinggi berikutan umur yang menjangkau 63 tahun.

“Perancangan sudah tidak banyak sebab umur pun sudah 63 tahun. Kalau mahu merancang banyak-banyak masa muda-muda bolehlah. Cuma sekarang abang mahu teruskan apa yang abang buat, melukis dan buat kelas melukis.

“Dalam lakonan pula mungkin abang mahu buat skrip dan lain-lain kerja belakang tabir. Berlakon pula selagi ada daya. Insya-Allah selagi rezeki masih ada,” katanya mengakhiri perbualan.


Pengarang :