EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Industri digital, logistik sedang berkembang, lonjak Selangor destinasi pelabur

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri meneruskan program penggalakan pelaburan secara fizikal dan virtual pada tahun ini dalam usaha mengekalkan serta menarik pelaburan baharu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata walaupun negara sedang dilanda pandemik, perancangan dan pelaksanaan program yang telah diputuskan tetap diteruskan mengikut keadaan semasa.

“Program-program promosi pelaburan seperti perdagangan dan pelaburan secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan selain penekanan kepada industri elektrik, elektronik, jentera dan peralatan yang dilihat sebagai industri berkembang di Selangor.

“Kita juga mengenal pasti dua industri baharu berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti pelaburan digital serta pengangkutan dan logistik,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkenaan perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan peningkatan pelaburan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Tambah Chang Khim, penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) bagi tahun ini diteruskan dan dijadual pada 6 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Selangor sebagai Hab Perdagangan Global di rantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan kepentingan bersama.

“Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hab perdagangan bagi rantau ASEAN,” katanya.


Pengarang :