Destinasi pelancongan bersejarah Bukit Malawati. Foto Facebook Tourism Selangor
ADNAGENDASELANGOR

Inisiatif budaya, warisan tarik pelancong dalam, luar negara kunjungi Kuala Selangor 

SHAH ALAM, 18 MAC: Beberapa inisiatif bakal dilaksanakan di Kuala Selangor bagi membangunkan aset budaya dan warisan daerah itu termasuk pembinaan pusat kraftangan di puncak Bukit Malawati.

EXCO kebudayaan berkata pusat kebudayaan dan warisan akan didirikan di kuarters lama jurutera Jabatan Kerja Raya namun perbincangan sedang dijalankan membabitkan konsep, reka bentuk dan peruntukan.

“Kuarters lama jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran bakal dijadikan Galeri Malawati bagi mempamerkan flora dan fauna serta lukisan tiga dimensi (3D) bertemakan legenda dan sejarah Bukit Malawati.

“Selangor juga berhasrat mengaktifkan semula laman budaya berhampiran Muzium Permainan Tradisional Rakyat untuk dijadikan tempat persembahan budaya bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara,” kata Borhan Aman Shah di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan perancangan dapat dilaksana, pihaknya menjalin kerjasama dengan unit perancang ekonomi negeri, pejabat daerah dan tanah, Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta agensi berkaitan.

“Sasaran kos sebanyak RM700,000 dan kami turut memohon kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi mendapatkan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2023,” katanya.


Pengarang :