Petugas kesihatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jangkitan harian terus catat angka tertinggi 33,406 kes, hanya 214 serius

SHAH ALAM, 6 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 bertambah 197 kes kepada 33,406 kes semalam, mengatasi angka tertinggi 33,209 kes yang dicatatkan kelmarin.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 214 kes manakala kategori satu (tanpa gejala) 13,157 kes dan dua (gejala ringan) merekodkan 20,035 kes.

Daripada 214 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 60 kes (28.04 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap vaksin, 101 kes (47.20 peratus) telah menerima dua dos tetapi belum menerima dos penggalak serta 53 kes (24.77 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu 96 kes (44.86 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 70 kes (32.71 kes) mempunyai komorbid dan 1 kes (0.47 kes) berkaitan ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1: 13,157 kes (39.39 peratus)
Kategori 2: 20,035 kes (59.97 peratus)
Kategori 3: 92 kes (0.28 peratus)
Kategori 4: 69 kes (0.20 peratus)
Kategori 5: 53 kes (0.16 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka terkumpul kes Covid-19 setakat semalam 3,595,172 kes.

“Sebanyak 311,206 kes aktif dilaporkan melibatkan 298,532 kes kuarantin di rumah, 3,588 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,715 kes di hospital, 145 kes di unit rawatan rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 226 kes di ICU dengan bantuan pernafasan,” katanya.


Pengarang :