Persembahan nyanyian vokalis Riduan Ramli atau Wan Lestari ketika majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 5 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jelajah Selangor Xtiv buka rezeki, ubati rindu penggiat seni

KUALA LANGAT, 6 MAC: Program Jelajah Selangor Xtiv 2022 membuka rezeki buat penggiat seni tanah air dan sekali gus mengubat kerinduan mereka selepas diuji pandemik Covid-19.

Penghibur legenda era 1960-an Datuk Jeffrydin, 76, berkata selepas penularan wabak, beliau tidak lagi menerima jemputan persembahan daripada mana-mana pihak lebih dua tahun sekali gus menjejaskan pendapatannya.

“Pada kali ini, isteri memaklumkan ada jemputan tetapi langsung tidak memberitahu di mana. Saya juga terkejut kerana dinyatakan perlu bermalam di sekitar Morib selepas persembahan.

“Saya tidak sangka tetapi bersyukur kerana dibukakan pintu rezeki walaupun tidak banyak. Ini persembahan secara bersemuka pertama saya hadir dan masih dihargai penganjur majlis,” katanya kepada SelangorKini.

Penghibur legenda, Datuk Jeffrydin mengadakan persembahan ketika majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 5 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambahnya, beliau kini dalam perancangan untuk merakam enam buah lagu baharu yang dimuatkan dalam satu album.

Bagi Wan Lestari, 54, jemputan diterima dalam program itu tidak disangka dan teruja untuk membuat persembahan.

“Walaupun Covid-19 masih melanda, program berjalan dengan lancar mengikut ketetapan. Jelajah Selangor ini bukan sahaja di Morib tetapi seluruh negeri apabila diberi peluang.

“Saya juga berbangga kerana mendapati konsep rock masih diterima dalam kalangan masyarakat,” katanya yang popular dengan lagu Sekelip Mata Kau Berubah.

Terdahulu, Jelajah Selangor XTIV 2022 diadakan di Dataran Morib di sini semalam dirasmikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman.


Pengarang :