Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jualan ayam murah diteruskan di empat lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 16 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat yang menawarkan bekalan barangan asas pada harga rendah diteruskan lagi di empat lokasi pada 19 dan 20 Mac.

Lokasi terlibat meliputi Pangsapuri Kampung Aman 1, Seri Kembangan dan SP3 Saujana Puchong pada Sabtu mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala pada Ahad pula di hadapan pejabat MK Land, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dan tapak bersebelahan Petronas, Bandar Utama Batang Kali dari 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Jualan istimewa untuk rakyat diteruskan lagi, pastikan anda yang tinggal berdekatan kawasan-kawasan berikut turut hadir,” kata EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di Facebook.

Produk yang biasa ditawarkan ialah ayam standard berharga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Sebelum ini, Ir Izham dilaporkan menjangka program tersebut diadakan di 64 kawasan seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Jelasnya, inisiatif pada setiap hujung minggu berlangsung sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan beberapa barang keperluan harian lain ditambah jika terus mendapat sambutan.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.

Foto Facebook Izham Hashim

 


Pengarang :