Orang ramai membeli barangan keperluan harian segar melalui Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 27 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan murah ayam, ikan dan telur di Sabak Bernam pada Sabtu

SHAH ALAM, 3 MAC : Program jualan murah barangan keperluan harian seperti ayam, ikan dan telur diadakan pada Sabtu ini di Sabak Bernam, kata Dato’ Menteri Besar.

“Program Jualan Prihatin Rakyat akan bermula di Sabak Bernam pada Sabtu ini yang menjual barangan keperluan harian berkualiti seperti ayam, ikan dan telur pada harga berpatutan.

“64 kawasan bakal menjadi lokasi jualan sehingga Hari Raya Aidilfitri,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ketika merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam berkata empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan dijual murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) adalah kesinambungan Program Intervensi Harga Ayam dan Telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lepas.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program ini.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.


Pengarang :