Orang ramai membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jualan Prihatin Rakyat jimatkan belanja, penduduk harap diadakan selalu

AMPANG, 13 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat dianjurkan Kerajaan Selangor dapat menjimatkan kos belanja bulanan penduduk.

Warga emas Zaharah Yusof, 62, berkata dengan program berkenaan dia mampu membeli minyak, beras, ayam, sayur dan telur untuk tempoh seminggu dengan kos hanya RM50.

Zaharah Yusof, 62. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kalau pergi pasar raya memang tak dapat. Selama ini saya memang akan cari tempat murah dan progran ini memang paling murah selain segar.

“Kita harap boleh selalu diadakan. Memang dapat bantu ringan beban rakyat terutama ketika harga barang naik,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah P Kaladevi,43, berkata dia memanfaatkan program hari ini dengan membeli makanan kering yang banyak untuk disimpan sebagai bekalan.

“Saya sanggup tunggu kerana sangat berbaloi. Hari ini saya beli minyak, beras, telur dengan kuantiti banyak. Harga murah dan dapat menjimatkan belanja,” katanya.

Sementara itu Angelina Lee, 70, meminta Kerajaan Selangor menjaga penjarakan semua pelanggan memandangkan ketika ini penularan wabak Covid-19 tinggi.

P Kaladevi, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program ini memang bagus dan mesti ramai yang datang beli tapi kita minta kawalan keselamatan terutama aspek penjarakan. Kita takut program ini jadi punca jangkitan,” katanya.

Semalam, program berkenaan berlangsung di tiga lokasi iaitu di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya: Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Program sejak 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri nanti diteruskan hari ini di Jalan GP2A, Gombak Permai, Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Perbandaran Ampang Jaya.


Pengarang :