Pasukan Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan kerja menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas di kawasannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada 7 Mac 2022. Foto Facebook MBSJ
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir tiga negeri menurun, 237 di Selangor

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 327 orang daripada 83 keluarga petang ini berbanding 449 orang daripada 120 keluarga pagi tadi.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam laporan terkini pada 4 petang tadi memaklumkan 33 orang daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang Johor yang dibuka sejak semalam.

Hanya satu PPS dibuka di Jasin, Melaka iaitu di SK Parit Penghulu yang dibuka pada 8 Mac lepas yang menempatkan 43 mangsa daripada 11 keluarga.

Sementara itu di Selangor, 237 mangsa daripada 62 keluarga di daerah Kuala Langat dan Sepang, dipindahkan ke lima PPS yang beroperasi, termasuk satu PPS yang baru dibuka hari ini iaitu Sekolah RTB Bukit Changgang di Kuala Langat yang menempatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada enam individu.

Tiga lagi PPS di Kuala Langat adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang manakala satu PPS di Sepang iaitu SK Kota Warisan.

– BERNAMA

 


Pengarang :