Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kaji semula sistem saliran kawasan pembangunan baharu di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 17 MAC: Wakil rakyat Pelabuhan Klang menyarankan agensi berkaitan mengkaji semula sistem saliran yang diluluskan di kawasan pembangunan baharu bagi mengelak kejadian banjir lebih buruk.

Azmizam Zaman Huri berkata Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta membuat kajian khusus di Kampung Tradisi Pulau Indah.

“Sebelum ini di kawasan itu merupakan zon penampan tetapi kini ditukar status menjadi zon industri dan ada pembinaan baharu projek Myra Garden. Perbincangan dilakukan antara MPK dan Jabatan Perancang dengan mengingatkan akan mendatangkan masalah kepada penduduk.

“Ini terbukti apabila beberapa kali hujan, paling teruk 17 Disember tahun lalu banjir berlaku. Sistem saliran yang diluluskan MPK tidak mengikut spesifikasi sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Azmizam juga memohon supaya MPK dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melihat jalan rosak di Pelabuhan Klang terutama Kampung Telok Gong yang masih belum dibaiki akibat kejadian banjir Disember tahun lalu.

“Saya sudah menghantar surat kepada JKR berhubung perkara ini dan jalan ini segera diturap. Kerajaan Negeri juga dipohon mengkaji semula hutan paya bakau sedia ada di kawasan pesisiran pantai dengan memastikan tiada pembangunan atau penerokaan.

“Hutan perlu dijaga sebab ia merupakan sistem tebatan banjir semula jadi yang perlu dipelihara terutama dalam suasana perubahan iklim tidak dijangka,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik serta dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang.

Titah Tuanku, langkah itu bagi memastikan rakyat terlibat tidak menanggung penderitaan teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.


Pengarang :