Mohamad Sufi Ryyan Suwardi,10, melakukan kerja-kerja pembersihan kolam ikan sebelum menangkap ikan di kolam ternakan bapanya, Suwardi Idris (kanan) di Pulau Betong, Balik Pulau. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kanak-kanak 10 tahun tidak kekok ternak ikan peliharaan bapa

BALIK PULAU, 16 MAC: Ketika kanak-kanak sebayanya leka menonton rancangan kartun di televisyen mahupun permainan lain, Mohamad Sufi Ryyan Suwardi memilih untuk berada di kolam ternakan ikan milik bapanya dan ‘lincah’ mengendalikan pelbagai jenis ikan peliharaan tanpa rasa kekok.

Malah, keakraban kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu bersama ikan berkenaan boleh diibaratkan sebagai rakan sepermainan kerana dia sangat gembira dan teruja setiap kali menguruskan kolam tersebut, bagaikan penternak berpengalaman.

Mohamad Sufi Ryyan atau lebih mesra dipanggil adik, bukan setakat tahu selok-belok mengendalikan ikan termasuk ikan yang bersengat seperti keli tanpa rasa takut, dia juga berkebolehan dalam proses pembiakan ikan terutama membabitkan ikan perhiasan hasil tunjuk ajar ayahnya.

Katanya sejak usia setahun dia sudah mengikut bapanya, Suwardi Idris, 49, yang mempunyai lebih 10 kolam ternakan ikan di tanah seluas 0.4 hektar di Kampung Pulau Betong, di sini.

“Dulu ayah ada kolam di Bayan Lepas, sebelum berpindah ke sini (Kampung Pulau Betong). Ketika itu saya bersekolah sesi petang dan setiap pagi sebelum ke sekolah saya akan turun ke kolam bagi membantunya menguruskan ikan peliharaan.

Mohamad Sufi Ryyan Suwardi,10, menangkap ikan puyuh di kolam ternakan bapanya di Pulau Betong. Foto BERNAMA

“Sama juga sekarang, selepas habis sekolah sesi pagi, saya terus ke kolam untuk buat apa yang patut. Memang sinilah (kolam) tempat permainan saya sejak usia setahun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pulau Betong di sini, hari ini.

Walaupun masih di bangku sekolah rendah, anak bongsu daripada dua beradik itu bercita-cita menjadi penternak ikan berjaya suatu hari nanti dan merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang tersebut.

“Kalau boleh, saya mahu sambung pelajaran ke Taiwan kerana ayah kata di sana banyak kejayaan dan teknologi berkaitan penternakan ikan, sekarang ini ayah yang banyak ajar tentang bidang ini,” katanya yang juga mempunyai hobi memancing.

Sementara itu, Suwardi berkata dia tidak pernah memaksa anaknya untuk membantunya di kolam ikan, sebaliknya minat yang ditunjukkan Muhamad Sufi Ryyan timbul sejak kecil lagi apabila dia dilihat begitu gembira setiap kali dibawa ke kolam ikan.

“Sekarang ini, apa juga ilmu yang saya dapat menerusi kursus anjuran Jabatan Pertanian, saya turunkan kepada adik, malah sebenarnya urusan di kolam ikan ini dah boleh lepaskan kepada dia kerana sudah mahir termasuk dalam memilih induk-induk yang sesuai bagi proses pembenihan ikan.

“Saya percaya dia boleh buat berdasarkan kerja-kerjanya sebelum ini,” katanya yang turut mengusahakan kebun sayur dan ternakan burung puyuh dengan dibantu isterinya Sih Mahyuti Markhaban, 49.

Menurut Suwardi walaupun anaknya banyak menghabiskan masa di kolam ikan, namun adik tidak pernah mengabaikan pelajaran dengan menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan, selain tidak pernah terlepas sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Dia tahu untuk berjaya dalam bidang ini (penternakan ikan), bukan praktikal semata-mata sebaliknya mesti mempunyai ilmu dalam pelbagai hal berkaitan,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam ternakan ikan.

– BERNAMA


Pengarang :