Petugas kesihatan memantau pelajar di bahagian pemerhatian selepas menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada 20 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak, remaja bawah 17 tahun tidak perlu kuarantin setiba di Malaysia mulai 1 April

SHAH ALAM, 9 MAC : Kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.

“Bagi pengembara yang sedang menjalani kuarantin sebagai contoh katakan individu itu tiba pada 29 Mac, tempoh kuarantin mereka akan berakhir pada 1 April.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain perlu mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Khairy turut menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk kembali semula kepada fasa pandemik sekiranya sudah beralih ke fasa endemik 1 April ini.

“Namun, sebagai kementerian kesihatan yang mengamalkan dasar kawalan penyakit berjangkit yang selamat dan menjaga kesihatan awam, kita sentiasa bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Sekiranya muncul varian baharu bukan sahaja di Malaysia semua negara pun sudah pasti akan mengkaji protokol baharu…jika sistem kesihatan kita lumpuh kita akan mencadangkan langkah tertentu dibuat,” katanya.


Pengarang :