Team Selangor menganjurkan klinik asas bola sepak untuk kanak-kanak dan remaja wanita pada 12 Mac ini.
AGENSISELANGOR

Kanak-kanak, remaja wanita dipelawa sertai klinik asas bola sepak pada 12 Mac

SHAH ALAM, 4 MAC: Team Selangor dan FA Selangor bakal menganjurkan klinik asas bola sepak khas untuk wanita pada 12 Mac ini di Padang Kompleks 3K, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata acara itu berlangsung mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan ia bersempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac ini.

“Buat julung kalinya, kita akan mengadakan klinik asas bola sepak khas untuk wanita dan ia terbuka untuk mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

“Pada kali ini, acara ini melibatkan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya, pihaknya mata mengalu-alukan penyertaan kaum wanita dalam usaha mencari pemain pelapis baharu.

Bagi ibu bapa yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/KlinikBolaWanita atau menghubungi talian 013-5303578.


Pengarang :