Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir (kanak) dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara maya pada 16 Mac 2022. Foto ihsan KDEBWM
AGENSISELANGOR

KDEBWM, Petronas Chemical jalin kerjasama bekal plastik, bina kemudahan asing sisa

SHAH ALAM, 16 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas Chemical Group Berhad (PCG) bagi pembekalan sisa plastik serta menilai potensi kerjasama membina kemudahan pengasingan sisa.

MoU yang dilaksanakan secara maya tengah hari tadi ditandatangani Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir manakala PCG diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Menerusi MOU itu, KDEBWM akan membekalkan sisa plastik polietilena (PE), polipropilena (PP) serta polietilena tereftalat (PET) kepada PCG untuk pengeluaran produk pekeliling berkaitan makanan, penjagaan kesihatan, isi rumah dan pembungkusan industri.

Ramli berkata syarikat Kerajaan Negeri itu sentiasa terbuka kepada perkongsian atau kerjasama yang menyumbang secara mampan kepada ekonomi dan alam sekitar.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat nasional seperti PCG bagi satu inisiatif yang kami harap akan menjadi satu kejayaan penting bagi ekonomi pekeliling di Malaysia.

“MoU ini turut meliputi kajian kebolehlaksanaan bersama untuk menilai daya maju komersial membina kemudahan pengasingan sisa di Malaysia yang akan memastikan pengasingan sisa plastik yang berkesan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau memaklumkan KDEBWM terus meneroka peluang perniagaan berkaitan sisa pepejal termasuk penubuhan loji tenaga lestari yang mampan berimpak tinggi dan pusat kitar semula.


Pengarang :