Koleksi pokok ‘keladi kayangan’ yang ditanam oleh Pengusaha Tanaman Keladi Viral, Rozita Haron 52 di Alor Gajah, Melaka ketika tinjauan pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
RENCANA WAWANCARA

‘Keladi kayangan’ ubah nasib ibu tunggal, pandangan pengusaha

Oleh Shanika Abdullatib

ALOR GAJAH, 2 MAC: Siapa sangka komen seorang peminat yang juga ibu tunggal di laman sosial Facebook (FB) milik pembiak dan penjual pokok keladi hiasan di sini, mengubah cara hidup kedua-dua mereka.

Tersentuh dengan komen Amira Jusoh, 40, yang diterimanya pada penghujung 2020, pengusaha tanaman keladi hiasan, Rozita Haron bertindak menghadiahkan sepokok anak keladi kepada ibu tiga anak berkenaan yang kemudian dijadikan ‘modal’ perniagaan oleh Amira.

“Saya kenal Rozita melalui FB sejak setahun lepas. Saya sering ikuti ‘Live FB’ beliau sebab saya memang minat pokok keladi dan sentiasa lihat pengikutnya (follower) beli pokok itu daripada Rozita,” cerita Amira yang dihubungi Bernama di kediamannya di Maran, Pahang.

Kongsi wanita itu, dia juga kagum dengan kesungguhan Rozita menjalankan perniagaan tersebut, khususnya selepas dia kehilangan pekerjaan pada penghujung 2020.

Menurut Amira, dia kemudian beranikan diri bertanyakan harga sepokok keladi hiasan yang memang diketahui mahal hinggakan digelar ‘keladi kayangan’.

“Bila tahu harganya, saya cakap memang minat tapi tak mampu. Langsung tak sangka Rozita tawarkan secara percuma satu pokok iaitu daripada jenis Lime Gecko untuk saya mula tanam. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajarnya, saya dapat biak dan jadikan anak pokok itu sebagai modal untuk terlibat dalam penjualan pokok keladi hiasan,” katanya.

Dia yang kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, mula aktif menjual pokok keladi hiasan sejak pertengahan tahun lepas, dan hingga kini berjaya menjual antara 20 dan 30 batang pokok keladi daripada jenis caladium dan colocasia.

“Saya hanya tanam di sekitar rumah namun cukup untuk memberi pendapatan tambahan kepada saya, membantu saya membesarkan anak-anak. Hingga sekarang pun saya masih belajar mengenai pokok-pokok ini, terutama dalam memastikan tanaman mencapai standard yang diperlukan untuk pasaran,” katanya.

Ubah persepsi terhadap keladi ‘kayangan’

Sementara itu, Rozita, 52, yang menetap di sini, berkata dia juga tidak menyangka komen Amira tersebut membuka hatinya untuk menjadikan tanaman hiasan berkenaan sebagai ‘jambatan’ membantu golongan susah, khususnya ibu tunggal.

“Saya sendiri pernah hidup susah. Jadi, apabila Amira komen di FB saya, terus terdetik hendak beri dia sebatang pokok keladi.

“Saya cakap, cuba bela pokok itu dulu. Kalau menjadi, juallah anak pokok itu ikut harga sendiri. Jika hidup elok, kita ‘upgrade’ kepada jenis lebih mahal,” katanya kepada Bernama.

Sejak itu, katanya dia meneruskan usaha ‘menghadiahkan’ pokok keladi hiasan kepada golongan susah terutama ibu tunggal dan seterusnya membantu mereka menjadi pengusaha ‘keladi kayangan’ yang berjaya.

Menurutnya, selain Amira, hingga kini dia berjaya membantu kira-kira 10 individu dari sekitar Melaka dan Selangor menjadi usahawan keladi hiasan.

“Memang saya akan beri pokok keladi daripada jenis yang biasa dahulu tapi tetap ada kualiti dan permintaan dalam pasaran.

“Dari situ, saya akan tengok kesungguhan mereka, dan dalam masa yang sama bantu dari segi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana menjaga dan membiakkan pokok keladi itu agar mencapai kualiti terbaik, yang boleh dijual dengan harga mencecah ratusan malahan ribuan ringgit,” jelasnya.

Mungkin ada yang menganggap nilai sebatang anak pokok keladi yang diberinya itu tidak seberapa, namun menurut Rozita, tidak seperti perniagaan lain, menanam pokok keladi ibarat satu pelaburan yang boleh berkembang dengan cepat jika kena caranya termasuk menjaga kualiti.

“Biarpun keladi ini boleh membiak menghasilkan anak pokok yang banyak, tidak semua pokok terutama daunnya, mampu mencapai piawaian bagi mendapatkan harga kayangan,” ujarnya, menambah proses membiakkan keladi juga mengambil masa selain perlu menunggu pokok membesar mencapai saiz bersesuaian sebelum boleh dijual.

Katanya, bergantung pada jenis keladi, harga anak pokok yang dijualnya bermula serendah RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit, mengikut saiz anak pokok dari setinggi sejengkal.

Media sosial medium berkongsi ilmu

Rozita kini turut aktif berkongsi ilmu dan teknik penjagaan keladi istimewa menerusi FB Live.

Katanya, melalui perkongsian di laman sosial itu, wanita yang dibantunya akan lebih mudah faham mengenai penjagaan pokok tersebut selain turut mendapat tip penjagaan daripada peminat keladi yang lain.

“Macam mana nak alihkan anak pokok, teknik memotong ubi keladi atau penggunaan jenis tanah atau baja, kebanyakan saya belajar sendiri secara ‘trial and error’. Dari situ kita akan belajar, sebab setiap jenis keladi caranya tak sama,” jelasnya, menambah kenalan FBnya juga kini melangkaui sempadan negara.

Menurut Rozita lagi, ada laman tertentu yang membolehkan peminat tanaman hiasan tersebut membida pokok yang mereka inginkan.

“Sudah tentu harga yang ditawarkan kadangkala tidak masuk akal. Tapi bagi mereka yang gemarkannya, semua itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Terapi melepas rindu

Rozita tidak mempunyai tapak nurseri, sebaliknya membiakkan tanaman itu di laman rumah yang berkeluasan 6×10 kaki persegi, sekali gus menjadikan perkarangan kediamannya sebuah taman pokok keladi hiasan yang mengasyikkan bagi peminat tanaman berkenaan.

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang itu, Rozita berkata dia mula serius mengumpul dan membiakkan pelbagai jenis pokok keladi pada 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19.

Kegiatan itu katanya bukan sahaja sebagai terapi akibat ‘terkurung’ di rumah, tetapi juga cara dia melepaskan rindu kepada arwah ibunya yang meninggal dunia pada tahun sebelumnya.

“Emak saya memang berbakat tanam pokok, dan semasa hayatnya pokok orkid merupakan kegemarannya. Tak sangka bakat dan minat emak itu turun juga kepada saya walaupun pada awalnya tak begitu minat terhadap pokok-pokok.

“Tapi bila emak dah tak ada, saya ambil alih menjaga pokok orkidnya, dan dari situ minat mula bercambah dan secara tak langsung menjadi tempat melepaskan rindu kepada emak,” jelasnya.

Diburu pengumpul dari luar negara

Menurutnya, pada masa ini dia menanam lebih 20 jenis pokok keladi hiasan termasuk yang diimport dari Thailand, Indonesia dan Colombia dengan ada yang berharga mencecah RM30,000 sepokok.

Katanya antara yang sering menjadi perhatian dan mendapat permintaan yang tinggi pada waktu ini adalah daripada jenis Black Lava, Thunderstorm, Pharaoh Mask, Milkyway, Midnight, 916 Guena Gold dan Colocasia esculenta ‘Mojito’ (Taro).

“Paling tak sangka sekarang ada pengumpul dari Thailand berminat mendapatkan anak-anak pokok keladi ini daripada saya.

“Ini dikira satu peluang terbaik untuk kami bertukar-tukar jenis pokok keladi walaupun harga anak pokok saja mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan terpaksa melalui pelbagai proses melibatkan imigresen termasuk mendapatkan permit,” katanya.

Ditanya rahsia mampu membiakkan pokok keladi yang boleh mencapai harga puluhan ribu ringgit, Rozita berkata, perkara yang paling penting ialah minat dan ikhlas.

“Kalau ikutkan, pokok ini tidak cerewet untuk dijaga. Cuma perlu tanah dan baja yang sesuai. Tapi untuk menjadikannya subur, berdaun besar dan corak yang cantik, kita kena selalu ‘bercakap’ dengan pokok-pokok ini.

“Mungkin nampak pelik tapi itulah yang saya lakukan. Malah semasa hendak alihkan anak pokok atau buang daun yang rosak atau mati pun saya minta izin. Buat dengan lemah lembut,” ceritanya.

– BERNAMA


Pengarang :