EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim (tengah) meninjau projek rawatan air dan pembesaran kolam prarawatan air serta kolam takungan banjir Sungai Gong pada 25 Januari 2021. Foto Facebook Ir Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kemarau diramal berlaku 2025, Selangor rancang awal urus sumber air

SHAH ALAM, 17 MAC: Pengurusan sumber air secara holistik antara fokus Kerajaan Negeri bagi menampung permintaan tinggi ketika kemarau yang diramal berlaku pada 2025.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata tumpuan turut diberikan terhadap perancangan mengumpul air banjir dan lebihan air dari empangan.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sudah melaksanakan pembangunan inventori dengan menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di negeri ini.

“Kita akan manfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang disenaraikan sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada,” katanya.

Beliau demikian pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Perkara itu dibangkitkan wakil rakyat Sungai Air Tawar Dato’ Rizam Ismail ketika sesi perbahasan semalam yang meminta penjelasakan Kerajaan Negeri berhubung persediaan menghadapi isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Ir Izham berkata pihaknya juga akan meneliti semua prasarana berkaitan bekalan air seperti jajaran paip dan sistem pengepaman supaya mampu beroperasi apabila diperlukan kelak.

Tambahnya Luas bersama Jabatan Mineral dan Geosains turut mengenal pasti punca air bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air.

“Kerajaan Negeri dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menggiatkan lagi kempen jimat air bagi memastikan penggunaan air yang berhemah.

“Air Selangor juga akan memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga,” katanya lagi.


Pengarang :