Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kajang bersama beberapa agensi lain menyusun kelengkapan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang yang dibuka semula pada 23 Februari 2022. Foto Faecbook Majlis Perbandaran Kajang
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beli ubat rawat Covid-19, 110,000 pesakit jadi kumpulan pertama terima

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ubat antiviral bagi rawatan COVID-19 Paxlovid keluaran Pfizer, dijangka akan mula diterima dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi perolehan fasa pertama antiviral itu, Malaysia telah membeli ubat itu untuk 110,000 pesakit, bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.

“Kalau kita dapati penggunaan ubat ini berkesan seperti maklumat yang telah kita terima, kita akan tambah pembelian ubat ini, Paxlovid daripada Pfizer.

“Ada dua lagi yang kita akan beli (iaitu) Molnupiravir dan satu lagi daripada AstraZeneca, tetapi belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Dialisis Tahunan kali ke-16 Yayasan Buah Pinggang Kebangsan (NKF) di sini hari ini.

Khairy ketika menyampaikan ucapan perasmian turut mencadangkan satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera, yang membolehkan orang ramai berikrar untuk menjadi penderma organ.

Beliau berkata usaha itu perlu memandangkan negara kini berhadapan peningkatan pesakit penyakit buah pinggang kronik, manakala jumlah individu yang berikrar sebagai penderma organ semakin berkurang, malah Malaysia antara yang terendah di dunia.

“Saya akan cuba yang terbaik bagi dapatkan ikrar dan menjadikan ia lebih mudah untuk orang ramai ikrar untuk dermakan organ mereka…Saya sedang cuba untuk MySejahtera menambah ‘butang’ supaya hanya dengan menekan butang tersebut dan berikrar menjadi menderma organ,” katanya.

Beliau berkata pada 2016, lebih 40,000 pesakit penyakit buah pinggang kronik yang bergantung kepada rawatan dialisis, dan berdasarkan unjuran sekiranya tren ini tidak dikurangkan, jumlah pesakit itu dijangka meningkat kepada 100,000 pesakit.

Khairy berkata langkah pencegahan dan pengesanan penyakit kronik menerusi saringan kesihatan juga perlu dibudayakan, oleh itu kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu membuat saringan kesihatan secara percuma.

Namun, beliau berkata daripada 5 juta individu yang layak menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40, kurang 12 peratus individu telah membuat saringan kesihatan.

Sementara itu beliau berkata Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau syarat untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), meletakkan syarat kepada peniaga pasar malam agar mendapatkan dos penggalak untuk menjalankan perniagaan.

“Ini bukan (bidang kuasa) KKM, KKM beri nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar memerlukan booster, itu keputusan yang mesti ditanya pada PBT,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan sebuah PBT meletakkan syarat sebagai keperluan bagi peniaga pasar malam.

— BERNAMA

 


Pengarang :