Kelihatan warga emas hadir di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer, Bandar Baru Selayang pada 8 Disember 2020 bagi mendapatkan baucar Jom Shopping SMUE. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri kaji guna kaedah digital agih bantuan SMUE

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri sedang mengkaji penambahbaikan agihan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ke arah pendigitalan.

EXCO pembangunan sosio-ekonomi berkata penambahbaikan itu dapat mengurangkan kesilapan maklumat dan mempercepat proses kemas kini data tuntutan baucar.

“Kertas cadangan ini telah dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan menunggu kelulusan.

“Namun, pelan rancangan ini masih memerlukan penelitian yang rapi memandangkan ia melibatkan keseluruhan besar tatacara operasi piawai (SOP) program,” kata V Ganabatirau.

Beliau menjawab soalan Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew berhubung kaedah baharu yang lebih mudah dan baik untuk program SMUE pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Skim tersebut diperkenal sejak 2008 khusus buat warga emas berumur 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) berumur 21 tahun ke atas.

Setiap ahli akan menerima baucar hadiah hari jadi sebanyak RM100 dan tabung khairat kematian RM500.


Pengarang :