EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) membantu menjual ayam ketika Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri tambah bekalan ayam di lokasi jualan prihatin 

AMPANG, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan menambah bekalan ayam sehingga 1,000 ekor di lokasi terpilih program jualan prihatin rakyat, susulan permintaan tinggi daripada orang ramai.

EXCO pertanian berkata, sebelum ini pihaknya menyediakan 500 ekor ayam di semua lokasi jualan berkenaan.

“Kita hadkan bekalan kepada 500 ekor ayam di setiap lokasi namun ada juga lokasi yang tidak cukup hingga perlukan 1,000 ekor.

“Waktu operasi juga bergantung kepada kehadiran pelanggan. Kita mahu pastikan semua mendapat peluang membeli barang pada harga murah,” kata Ir Izham Hashim kepada Selangorkini hari ini.

Mengenai program jualan prihatin rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Katanya, orang ramai sudah mula beratur di lokasi di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya sejak jam 9 pagi walaupun gerai jualan hanya dibuka pada jam 10 pagi.

“Penduduk memang memanfaatkan peluang ini kerana harga jualan lebih murah berbanding pasaran. Lagipun tempat ini juga strategik untuk dikunjungi.

“Bagi meringankan beban pelanggan yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah, pusat khidmat turut menyediakan baucar RM10 kepada 200 pengunjung terawal,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu berkata program sama turut diadakan di Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Program yang dilancarkan pada 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri itu menjual barang keperluan dengan harga lebih murah terutama ayam, telur, daging dan ikan.

Ia akan diteruskan di Jalan GP2A, Gombak Permai; Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Perbandaran Ampang Jaya.

 


Pengarang :