Hee Loy Sian. (tengah) bertemu penduduk Orang Asli sempena lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 4 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan persekutuan digesa segera buka sempadan negara, rancakkan sektor ekonomi

PELABUHAN KLANG, 4 MAC: Kerajaan Negeri meminta kerajaan persekutuan segera membuka semula sempadan negara bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pembukaan sempadan itu amat penting terhadap pemulihan ekonomi negara terutama sektor perniagaan dan pelancongan.

“Diharap kerajaan pusat ada satu jadual jelas untuk tujuan itu kerana kita (Selangor) tidak dapat membuat apa-apa perancangan atau sasaran mengenai jumlah pelancong masuk.

“Sekiranya sempadan dibuka kita boleh merancang dengan lebih terperinci,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan mengagih bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Mengulas sama ada Kerajaan Selangor akan mewujudkan semula Baucar Pelancongan seperti tahun sebelumnya, Loy Sian berkata setakat ini pihaknya tiada cadangan berhubung perkara itu.

“Kita tidak bercadang menawarkan kembali baucar tersebut selepas mengambil kira sektor pelancongan dalam negeri dilihat semakin berganjak berbanding awal pandemik lalu,” katanya.

Sejak pandemik Covid-19, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu selama dua tahun berturut sejak 2020.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :