Tatacara operasi piawai lengkap diperlukan bagi memastikan kelancaran ibadah haji selain menjaga jemaah haji Malaysia daripada terdedah kepada wabak Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan umum kos, kuota haji awal April

KOTA BHARU, 13 MAC: Pengumuman mengenai kos mengerjakan haji dan kuota haji bagi tahun ini dijangka diumumkan awal bulan April, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata kerajaan Malaysia yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dijadual mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi mengenai perkara berkenaan, hujung minggu ini.

Katanya perbincangan turut merangkumi aspek tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi jemaah haji semasa menunaikan ibadah itu nanti.

“Beliau (Idris) akan ke Arab Saudi atas jemputan bermula 18 hingga 27 Mac ini, antara perkara yang bakal  dibincangkan nanti adalah yang berkaitan dengan SOP dan urusan haji.

“Kerajaan akan membuat pengumuman berkaitan SOP dan kos haji berdasarkan hasil perbincangan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas majliskonvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Kompleks Dewan Jubli Perak Panji di sini, hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Eksekutif KTD Dr Nik Kamarulzaman Awang Teh@Abdullatiff itu, 92 graduan menerima diploma masing-masing dalam bidang pengurusan perniagaan, multimedia, pengajian Al-Quran dan As-Sunnah serta syariah.

Sementara itu Ahmad Marzuk berkata pelaksanaan penjarakan fizikal untuk solat jemaah selaras fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini dan ia terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Terpulang kepada mereka (kerajaan negeri) untuk guna pakai ataupun tidak, kerana ia bidang kuasa negeri. Pada peringkat Wilayah Persekutuan kita laksanakan tanpa penjarakan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :