Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Lumpur dan bomba mengangkat salah seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang cedera selepas dirempuh kereta terbabas. Foto Facebook APM Kuala Lumpur
AGENDA NASIONAL

Kereta rempuh kedai makan, tujuh pelanggan cedera

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tujuh individu cedera selepas sebuah kereta terbabas dan merempuh ruang makan di luar sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita yang sedang makan di restoran itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam dan sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Honda HR-V telah terbabas lalu merempuh restoran serta melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia dan Lexus.

“Kesemua mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Punca rempuhan sedang disiasat,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :